{VIDEO} CEO GISBH, isteri dituduh jadi ahli kumpulan jenayah terancang

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, isterinya Datin Azura Md Yusof dan 20 lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, tiada pengakuan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH, di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini, antara Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Disember ini bagi sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh.

Semalam media melaporkan, seramai 22 individu termasuk Nasiruddin akan dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Selain Nasiruddin, turut dituduh di bawah seksyen sama iaitu isterinya, Azura dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan itu telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), petang semalam.

Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu 58 individu ditahan di bawah SOSMA termasuk 16 orang yang merupakan pengurusan tertinggi GISBH.

Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global hingga fasa keempat

Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*