{VIDEO} Budak lelaki kena rotan di rumah amal GISB tular, bapa buat laporan polis

BAPA kepada seorang budak lelaki yang dilihat dirotan di dalam sebuah bilik darjah sudah membuat laporan polis, kata Tan Sri Razarudin Husain.

Ketua Polis Negara berkata, laporan itu dibuat di Kluang, Johor pada Isnin.

Video kejadian dipercayai melibatkan kes Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings itu turut tular di laman media sosial sejak Ahad.

“Bapa kepada kanak-kanak itu membuat laporan selepas video itu tular.

“Difahamkan, dia tidak berjumpa dengan anaknya sejak 2021 lagi,” katanya Selasa.

Menurut Razarudin lagi, siasatan mendapati hanya dua daripada 20 rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISB Holdings yang diserbu semasa Ops Global pada 11 September lalu mempunyai lesen operasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pada peringkat awal siasatan kami, kami mendapati hanya dua yang mempunyai lesen manakala 18 lagi tidak.

“Siasatan kami juga melibatkan kesalahan lain,” tambahnya.

Mengenai kanak-kanak yang diselamatkan, beliau berkata, 149 daripada mereka berusia antara satu hingga 10 tahun telah dihantar ke pusat perlindungan di bawah JKM.

“Mereka telah dihantar ke empat pusat perlindungan… Saya rasa tidak perlu mendedahkan lokasi mereka.

“Sebanyak 243 lagi masih ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) dan akan dihantar ke pusat perlindungan secara berperingkat,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa yang tampil menuntut anak mereka perlu menjalani penilaian dan pengesahan.

“Bagi mereka yang mempunyai kad MyKid, kita akan lihat sama ada kanak-kanak tersebut mengenali ibu bapa mereka.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kimia untuk menjalankan ujian bagi mengesahkan keturunan,” katanya.

Semasa Ops Global, 402 kanak-kanak berumur antara satu dan 17 tahun telah diselamatkan dalam operasi besar-besaran di 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Razarudin berkata, siasatan awal mendapati ada liman elemen atau unsur jenayah dengan salah satunya ialah penderaan fizikal dan emosi telah dikesan selepas pemeriksaan kesihatan terhadap 392 daripada mereka yang diselamatkan.

Elemen lain ialah pengantunan seksual kanak-kanak (child grooming), buruh kanak-kanak, pengabaian kanak-kanak dan pembesaran malnutrisi (tumbesan terbantut).

Menurutnya lagi, sebahagian besar ibu bapa kepada 392 kanak-kanak terbabit sudah dikenal pasti, namun mereka belum tampil untuk diambil keterangan.

“Kita juga percaya ada ibu bapa tidak mengetahui anak mereka diselamatkan dari rumah amal yang diserbu. Selain itu, ada ibu bapa yang tidak mengakui itu anak mereka memandangkan pihak pengurusan GISBH mendakwa kanak-kanak berkenaan adalah anak yatim.

“Siasatan juga mendapati sebahagian kanak-kanak di ‘bin’ kan dengan Abdullah yang mana mereka tidak mengetahui status kanak-kanak berkenaan sama ada anak mereka atau tidak,” katanya.

Pada masa sama, Bukit Aman akan merujuk tiga kertas siasatan berkait GISBH kepada Jabatan Peguam Negara.

Kertas siasatan itu berkaitan dakwaan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak dan juga penggunaan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*