Tindakan remaja perempuan berusia 17 tahun mengadu kepada teman wanita bapanya yang dia dirogol lelaki tersebut merupakan faktor dia dipukul teruk oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik itu memberitahu telah dirogol suspek yang juga bapa kandungnya tahun lalu.
“Pada 12 November 2023, jam lebih kurang 2 petang, suspek telah masuk ke dalam bilik mangsa dan ketika itu hanya mereka saja yang berada di rumah.
“Suspek yang hanya memakai seluar dalam terus meluru ke arah mangsa serta menolaknya ke atas katil,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, mangsa cuba menjerit, namun suspek bertindak menutup mulutnya dengan tangan lalu merogolnya.
Ujarnya, suspek turut memberi amaran kepada mangsa supaya tidak memberitahu perkara tersebut kepada sesiapa.
“Bagaimanapun pada Selasa lalu (23 Januari) jam lebih kurang 10.45 malam telah berlaku pergaduhan antara mangsa dengan suspek.
“Suspek yang dalam keadaan mabuk telah bertindak memukul mangsa menggunakan tangan serta beberapa alatan seperti kerusi plastik, bakul kain plastik dan meja seterika,” katanya.
Hazri berkata, siasatan mendapati, suspek dan ibu kandung mangsa telah bercerai semasa mangsa berusia empat tahun.
Jelasnya, sejak itu dia tinggal bersama neneknya di Rantau, namun hanya tinggal dengan suspek sejak Jun 2022.
“Mangsa telah tinggal di rumah pekerja disediakan majikan suspek di Kampung Kendong Baru, Kota dan turut tinggal di situ iaitu teman wanita suspek berusia 44 tahun.
“Mangsa juga bersekolah di sebuah sekolah di Tampin dan bekerja sambilan sebagai pelayan kedai makan di medan selera di Tampin setelah selesai waktu persekolahan sejak awal tahun ini,” katanya.
Selain itu katanya, hasil pemeriksaan ke atas mangsa yang dijalankan di Hospital Tampin mendapati, terdapat kesan koyakan lama pada kemaluannya.
Hazri berkata, teman wanita suspek telah pun hadir ke Balai Polis Kota tengah hari pada Rabu untuk memberi keterangan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman untuk kelakuan sumbang mahram akan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun, dan juga akan dihukum dengan sebatan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, mangsa luka di bahagian kiri kepala dan menerima 12 jahitan selain turut luka di bahagian tangan kanan dan lebam di bahu kanan akibat dipukul bapa kandungnya.
Berdasarkan keterangan mangsa, dia telah ditendang pada bahagian perut dan senjata digunakan ialah kerusi, raga menyimpan pakaian dan besi papan seterika.
Teman lelaki mangsa telah melaporkan kejadian itu kepada polis dan ekoran itu suspek berusia 47 tahun telah ditahan di hadapan rumahnya dalam keadaan mabuk dan telah dibawa ke Balai Polis Kota untuk tindakan lanjut.
Turut baca :
Leave a Reply