{VIDEO} Bayi 8 bulan maut : Pengasuh wanita ‘jaga’ Al Fateh direman 7 hari

Seorang pengasuh wanita direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama di sini, semalam.

Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek berusia 34 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap lokap bewarna ungu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.30 pagi dengan diiringi anggota polis.

Wanita yang juga ibu tiga anak itu ditahan pasukan Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira pukul 3.30 petang semalam di taska terbabit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada pihak Hospital Alor Gajah memaklumkan telah menerima seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Turut baca :

“Mengikut laporan dibuat, mangsa telah dihantar ke taska oleh datuk dan ibunya pada pukul 7.05 pagi tadi, namun pada pukul 9.05 pagi, pihak taman asuhan itu menelefon si ibu memberitahu bahawa tubuh badan bayi berkenaan dalam keadaan biru.

“Datuk dan ibu mangsa terus ke taska dan mendapati muka bayi berkenaan sudah menjadi biru dan hidungnya berdarah serta mangsa dalam keadaan terkulai,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, bayi berkenaan kemudian dibawa ke bahagian kecemasan Hospital Alor Gajah, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Susulan kejadian itu, kita telah menahan seorang wanita untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*