{VIDEO} Bapa, anak 2 tahun maut dalam nahas 3 kenderaan

NILAI: Dua beranak maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dalam nahas di Kilometer (KM) 276.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Arah Selatan, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pemandu kereta jenis Perodua Kancil maut di lokasi kejadian, manakala anaknya yang berusia dua tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Melaka.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar kereta itu disyaki pecah menyebabkan kereta hilang kawalan dan melanggar besi penghadang pembahagi jalan di lorong kanan jalan.

“Sejurus kemudian sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan dikatakan melanggar Perodua Kancil dan sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi yang berada di lorong kedua,” katanya, hari ini.

Abdul Malik berkata, akibat kemalangan, mangsa pemandu Perodua Kancil iaitu seorang lelaki berumur 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala anaknya yang berumur dua tahun meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, kira-kira jam 7.40 pagi tadi.

“Isterinya yang berumur 27 tahun serta seorang lagi anak berumur lima tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah. Tiga pemandu dan penumpang kenderaan lain mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Tambah Abdul Malik, kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke HTJ dan Hospital Kajang untuk menerima rawatan lanjut manakala mangsa yang maut dibawa ke HTJ bagi proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019- 4611794.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*