{VIDEO} “Bagai jatuh ditimpa tangga… Imam masjid trauma kena scam kartel jenazah

BAGAI jatuh ditimpa tangga. Demikian peribahasa sesuai digambarkan situasi dihadapi seorang imam masjid yang pernah ditipu kartel jenazah ketika pemergian ibu mentuanya sebelum ini.

Seolah-olah buntu mendapatkan bantuan, Abu Salman, 35, menjelaskan bahawa pihak berkenaan sememangnya sudah lama bergiat aktif di sekitar Muar, Johor dan mengenakan bayaran tinggi kepada waris si mati bagi pengurusan jenazah.

Berkongsi pengalaman ditipu lebih RM3,000 satu ketika dahulu, Abu menjelaskan arwah ibu mentuanya merupakan warga negara Thailand dan telah dipergunakan kartel terbabit atas alasan permit kedutaan yang mahal.

“Mereka gunakan alasan mentua saya asal Thailand, jadi proses permit kedutaan negara terbabit menelan kos tinggi walhal sebenarnya ia hanya RM50.

“Ketika itu saya dan isteri pun dalam kesusahan, jadi tiada bantuan diberikan dan kami terus bayar seperti yang diminta untuk urusan dokumen.

“RM3,000 bukan satu jumlah yang kecil, dalam keadaan bersedih kami dikenakan bayaran tinggi dan lebih menyedihkan apabila kartel itu seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang,” katanya.

Memori pahit itu walau bagaimanapun mencetus penubuhan persatuan Kumpulan Van Jenazah Percuma (KVJP) yang bergiat aktif di sekitar bandar Muar.

Jelasnya, idea penubuhan persatuan itu bertujuan untuk membantu masyarakat di kawasan pedalaman dan golongan kurang berkemampuan yang memerlukan khidmat pengurusan jenazah secara percuma.

Lebih menarik apabila rata-rata ahli kumpulan itu terdiri daripada golongan muda seawal usia 12 tahun yang cukup meminati kerjaya tersebut.

“Lebih kurang 20 orang sudah menyertai kumpulan kami dan kesemuanya muda-muda, usia dari 12 hingga 20 tahun yang sangat berhati mulia, sanggup melakukan kerja-kerja amal tanpa bayaran.

“Saya memang nak kembangkan lagi pasukan saya biar semua orang dapat khidmat percuma, anak-anak muda di luar sana boleh sertai kami, kursus dan latihan secara percuma diberikan dan tiada apa-apa kriteria ataupun ilmu pendiding diperlukan untuk jadi ahli.

“Di Muar tak banyak pusat pengurusan jenazah jadi ramai yang terdesak kalau ditimpa musibah, Insya-ALLAH kami akan terus bantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sebelum ini bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pernah mencadangkan urusan pengurusan jenazah dilakukan menerusi sistem wakaf.

Jelasnya, masyarakat di sesebuah tempat boleh mewakafkan sesuatu barangan manakala hasil pendapatan diraih boleh digunakan untuk membantu orang lain.

“Misalnya, mereka mewakafkan sebuah bangunan untuk disewa, manakala hasil wang sewa tersebut boleh digunakan untuk membantu pengurusan jenazah. Apabila sistem wakaf berjalan dengan baik, ia boleh ganti subsidi kerajaan.

“Sementara di kawasan kampung kebiasaannya ada badan khairat kematian dan ada yang membuat caruman untuk pengurusan jenazah. Daripada situ, ia dapat membantu mereka yang kehilangan ahli keluarga,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*