Dua petugas kesihatan cedera selepas ambulans yang dinaiki dilanggar sebuah kereta di satu persimpangan lampu isyarat di Lebuh Bestari menghala ke Persiaran Perdana, Putrajaya malam tadi.
Ketua Polis Putrajaya Asmadi Abdul Aziz berkata ambulans itu dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Audi menyebabkan kenderaan itu terbalik.
Katanya, kereta itu dalam perjalanan menuju ke Masjid Putra dan bergerak selepas lampu isyarat bertukar hijau.
“Ambulans itu memasang siren dan lampu kecemasan. Kereta yang berada di laluan tengah hilang kawalan dan tidak sempat membrek, lalu melanggar bahagian tepi kiri ambulans itu,” kata Asmadi dalam satu kenyataan.
Katanya, dua petugas kesihatan dalam ambulans itu mengalami kecederaan di kepala dan leher. Pemandu dan penumpang lelaki kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Asmadi berkata, pemandu kereta itu yang juga seorang warga Iraq, didapati negatif ujian dadah. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.
Leave a Reply