{VIDEO} Amang seksual: PU Azman dipenjara 24 tahun, 2 sebatan

Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman di hukum penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dua tahun lalu.

Hakim Noridah Adam memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Azman Syah, 43, gagal menimbulkan keraguan munasabah diakhir pembelaan kes itu.

Bagi pertuduhan pertama hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan manakala pertuduhan kedua jumlah penjara sama dan satu sebatan yang mana hukuman itu berjalan secara berasingan.

Mahkamah juga turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman.

Sebelum ini, Azman Syah diperintah membela diri pada Disember tahun lalu atas dua pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari dan 29 Jun 2022.

Turut baca :

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ Ayuni Jamri, Nurul Izzati Mohamad dan Zahida Zakaria manakala Azman diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.

Azman Syah turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*