{VIDEO} Aksi mengejar sejauh 20km, polis tahan pemandu pukul warga asing

SEORANG pemandu lelaki dikejar beberapabuah kenderaan polis dipercayai terlibat dalam kes pukul warga asing di Plaza Tol Sungai Nyior, Butterworth, Pulau Pinang pada Ahad.

Suspek didakwa cuba melarikan diri dan dikejar polis sejauh 20 kilometer sebelum berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, insiden terbabit berlaku pukul 3.30 petang Ahad selepas suspek enggan memberi kerjasama kepada anggota polis.

“Sebelum itu, suspek lelaki warga tempatan berusia 40-an itu disyaki memukul seorang warga asing di Pusat Perniagaan Alma dekat Bukit Mertajam.

“Berikutan itu, anggota MPV cuba menahan kereta dipandu suspek namun ketika menghampiri kenderaan berkenaan pemandunya memecut laju.

“Anggota MPV kemudian bertindak mengejar suspek dan mengarahkannya berhenti namun suspek enggan, bahkan didapati suspek melanggar motosikal sebelum ditahan di Plaza Tol Sungai Nyior,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Helmi berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui botol plastik yang diubah suai disyaki digunakan untuk menghisap dadah.

“Suspek bersama kenderaannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya juga mendapati positif dadah methamphetamine,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*