{VIDEO} ‘Abang sado’ menangis dihukum penjara 9 hari lagi

Lelaki berbadan tegap yang tular menunjal kepala pemandu wanita, menangis keinsafan sebaik dihadapkan sekali lagi ke mahkamah pada Jumaat.

Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, tidak dapat menahan sebak ketika didakwa di Mahkamah Majistret Cameron Highlands atas dua pertuduhan mengasari dua pekerja sebuah restoran di Tanah Rata, Cameron Highlands, 4 Jun lalu.

Penyelia kilang berkenaan mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman.

Dalam rayuannya, Mohammad Zaim Faiz mengaku menyesali akan perbuatannya dan berjanji tidak mengulangi sikap sedemikian.

Dia turut memohon mahkamah agar hanya dikenakan hukuman denda paling minimum memandangkan mempunyai tanggungan seorang anak kecil berusia dua tahun lima bulan dan isteri yang sarat mengandung.

“Saya merayu untuk bayar denda kerana kes pertama sudah dihukum penjara. Saya rasa bersalah dan menyesalinya. Saya tidak akan ulangi lagi perbuatan saya,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas seorang pekerja asing, Samir Das, 28, dan warga tempatan, V Dennis Pillai, 23, di sebuah restoran steamboat dekat Tanah Rata dalam daerah Cameron Highlands sekitar jam 4.20 petang pada 4 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret Qasiratul Jannah Usmani menetapkan hukuman penjara sembilan hari dan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara sembilan hari lagi sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun hukuman penjara dijalankan secara serentak bermula tarikh tangkapan pada Khamis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Punitha Sinnapan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Polis Pahang sebelum ini mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap lelaki terbabit kerana disyaki turut mengasari pekerja restoran di Cameron Highlands.

Berdasarkan laporan, lelaki berkenaan bertindak memaki hamun dengan kata-kata kesat dan menampar kedua-dua belah pipi pekerja restoran itu kerana tidak berpuas hati makanan lambat sampai.

Pada 9 Jun lalu, Mahkamah Majistret Tapah menjatuhi hukuman penjara tujuh hari selepas tertuduh mengaku bersalah mengugut dan mencederakan pemandu wanita hingga video kejadian itu tular di media sosial.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*