{VIDEO} Abam sado ‘lepas geram’ tayang body di kedai makan dilabel ‘pengotor’ – “Saya tak kecil hati”

DUA pemuda sado meraih perhatian netizen selepas video mereka membuka baju ketika menjamu selera di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Ahad malam tular di media sosial.

Video yang dikongsi oleh Firdauz Ahmad Fuad, 27, menerima banyak usikan nakal netizen, namun ada yang kurang senang dan menganggap aksi tersebut tidak wajar dilakukan di kedai makan.

“Aku kalau ada kat situ tak boleh nak makan, asyik tengok ni je.

“Tak jadi nak makan. Cuci mata je la kita.

“Kedai makan ni bang, bukan gim,” tulis beberapa netizen.

Ketika dihubungi Firdauz berkata aksi itu hanya dilakukan dalam masa beberapa saat sahaja sebagai simbolik untuk meraikan kebebasan mereka selepas dua bulan menjalani diet ketat untuk pertandingan bina badan.

“Seorang lagi lelaki dalam video itu merupakan trainee saya. Kami baru habis pertandingan bina badan yang berlangsung dari pagi sampai petang Ahad. Kami diet dua bulan untuk persiapan pertandingan itu. Lama tak makan benda sedap-sedap.

“Selepas habisnya pertandingan itu, kami mahu menikmati makanan di Jalan Alor untuk meraikan kebebasan kami. Bila dapat makan dengan bebas, ia sudah tentu dapat boost kesihatan mental dan otot.

“Masa tu kami buka baju dalam empat ke lima saat saja. Kemudian terus pakai balik. Orang pun mungkin tak perasan. Penerimaan orang kat situ juga positif,” ujar Firdauz lagi.

Video yang dimuat naik Firdauz turut dikongsi oleh individu lain ke media sosial sehingga mereka berdua dianggap pengotor dan tidak menghormati pengunjung kedai makan itu.

Menurut Firdauz, dia tidak kecil hati membaca kecaman netizen kerana aksi ‘buka baju’ merupakan satu kelaziman bagi mana-mana individu yang terlibat dalam dunia bina badan.

“Saya baca komen-komen di media sosial. Kami cuma nak enjoy life sekejap saja. Orang di situ pun tiada masalah. Paling teruk ada orang cakap yang mereka akan muntah kalau mereka nampak aksi kami. Siap kata kami pengotor.

“Saya tak kecil hati. Orang yang bina badan dah biasa buka baju. Kalau badan tak siap, kami tak akan buka baju,” ujarnya berseloroh.

Dalam pertandingan bina badan yang berlangsung di ibu negara pada Ahad, kedua-dua mereka turut meraih kemenangan dalam kategori masing-masing, sekali gus ‘membayar’ segala penat lelah persiapan selama dua bulan.

Firdauz juga kini sedang melakukan persiapan untuk pertandingan bina badan peringkat antarabangsa yang dijangka berlangsung pada November depan.

Pada waktu itu, Firdauz juga tular kerana dia berkongsi video ‘glow up’ yang memaparkan perubahan wajah dan giginya yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*