{VIDEO} 3 kilang bahan kimia terbakar di Gelang Patah, mangsa melecur terbaring tepi jalan

TIGA unit kilang di Kawasan Perindustrian SILC dekat Iskandar Puteri dekat Gelang Patah, Johor terbakar dan berlaku beberapa letupan pada Khamis.

Susulan itu, tiga pekerja warga Bangladesh dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami 30 peratus melecur tahap pertama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, enam lagi pekerja di kilang terbabit tidak mengalami kecederaan.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Khas Untuk Penyandang (KUP), Mohamad Anuar Mohamad Amdzah, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara berkenaan pada pukul 11.33 pagi.

“Enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) melibatkan Iskandar Puteri, Larkin, Skudai, Pekan Nenas, Pontian Baharu dan Sebana Cove terlibat bagi memadamkan kebakaran di kawasan tersebut.

“Sebaik menerima panggilan tersebut pasukan keluaran operasi (PKO), melibatkan tiga jentera fire rescue tender, dua unit jentera perkhidmatan penyelamatan, perawatan, kecemasan, satu unit jentera foam tender, satu water tanker 20,000 liter, satu pacuan empat roda Hilux dan satu jentera compact fire rescue tenders (CFRT), dari kesemua BBP berkenaan dihantar ke lokasi.

“Setibanya PKO ke lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang seperti yang dilaporkan.

“PKO kemudiannya bertindak membuat pemadaman di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Faiz Suleiman berkata, satu daripada kilang itu dipercayai ada menyimpan bahan kimia dan menyebabkan letupan.

“Terdapat tiga unit kilang yang terbakar. Salah satunya ada penyimpanan bahan kimia termasuk ‘thinner’. Memang ada letupan berlaku, tetapi tiada kecederaan kepada anggota kita (bomba),” katanya.

Sejumlah 39 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran itu.

Gudang logistik mengalami kerosakan 80 peratus manakala tiga kilang milik syarikat kimia 90 peratus terbakar.

Terdahulu, tular beberapa video dan gambar memaparkan keadaan di kawasan tersebut.

Orang awam yang berada di lokasi kejadian juga turut mendakwa beberapa pekerja kilang di kawasan yang terjejas berkemungkinan cedera parah ekoran tular satu video memaparkan dua orang lelaki yang melecur di seluruh anggota badan.

“Ada orang melecur, pekerja melecur. Ya ALLAH, kesiannya, ” tulis individu tersebut.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*