Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan selepas menyeludup 25 warga Myanmar menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Kelantan ke ibu negara.
Perbuatannya terbongkar selepas polis mendapati Toyota Vellfire itu dipandu dalam keadaan mencurigakan dan kemudian mengejarnya, dalam kejadian 12.05 tengah hari semalam.
Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata polis mengejar kenderaan itu dan apabila sampai di Jalan Selinsing, suspek melanggar sebuah motosikal dan tiga kenderaan lain lalu terbabas.
“Hasil siasatan mendapati pemandu kenderaan tersebut merupakan lelaki warga tempatan, manakala di bahagian tempat duduk belakang terdapat 19 lelaki dan enam perempuan warga asing berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun.
“Hasil semakan identiti semua penumpang tidak memiliki dokumen pengenalan peribadi,” katanya dalam kenyataan.
Seorang lagi penumpang hadapan yang merupakan lelaki warga tempatan berjaya melarikan diri ketika kemalangan berlaku.
Beh berkata, menurut suspek, mereka bertolak dari Rantau Panjang menuju ke Kuala Lumpur, pada 3 pagi semalam, untuk menghantar semua warga asing mencari pekerjaan.
“Bayaran dikenakan kepada setiap individu oleh penghantar (tekong) adalah sebanyak RM6,000 untuk tujuan tersebut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Turut baca
Leave a Reply