Seorang ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mengaku tidak bersalah kerana mengugut seorang wanita yang juga bekas anggota organisasi itu menarik balik laporan polis yang dibuatnya.
Mohamad Riza Makar, 39, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hassan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di Mahkamah Majistret, di sini semalam.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Siti Nur Dalila Diyana Ismail, 25, di parkir bangunan Galeria, Presint 4 pukul 10 malam pada 9 September lalu.
Wanita itu diugut dengan kata-kata “kita tunggu… kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga” yang berniat untuk menyebabkan kegentaran kerana enggan menarik laporan polis.
Tertuduh yang ada tiga isteri dan 10 anak itu didakwa menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Othman memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM30,000.
Peguam bela tertuduh, Zulfikiri Ulul Azmin bagaimanapun memohon jumlah tersebut dapat dikurangkan kerana anak guamnya itu hanya peniaga kecil dengan pendapatan bulanan kira-kira RM4,000.
Malahan beliau berhujah, tertuduh tidak mungkin cuba melarikan diri dan bekerjasama dengan pihak polis sepanjang proses siasatan dan menafikan Mohamad Riza sebagai anggota GISBH.
Semasa soal balas, Mohamad Riza yang tinggal di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor juga merayu kadar berkenaan diturunkan kerana salah seorang isterinya baru melahirkan anak.
Dia turut menyatakan masih lagi memerlukan banyak perbelanjaan untuk tanggungan keluarga terutama anaknya sebelum sesi persekolahan baharu disambung semula pada minggu depan.
Mohd. Sabri namun membantah hujah itu kerana kes memberi kesan kepada pengadu dan memaklumkan bahawa tertuduh mengaku ahli organisasi tersebut ketika rakaman percakapan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan minggu pertama setiap bulan.
Pasport antarabangsa milik tertuduh juga diserahkan kepada pihak mahkamah dan dia dilarang daripada cuba mengganggu pengadu sepanjang perbicaraan kes tersebut di mahkamah.
Ahmad Afiq kemudian menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan dan pihak media dimaklumkan bahawa Mohamad Riza berusaha membayar ikat jamin itu.
Turut baca :
Leave a Reply