Pemilik bengkel yang dikenal pasti menjalankan khidmat mengubah suai motosikal melebihi modifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu ditarik semula lesen perniagaan mereka.
Pakar keselamatan jalan raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, modifikasi yang disarankan hanya melibatkan pengubahsuaian kecil atau pemasangan alat kelengkapan tambahan atau pemasangan aksesori yang tidak mengubah identiti dan tidak mengganggu ciri-ciri keselamatan kenderaan.
Menurutnya, Akta Pengangkutan Jalan 1987 jelas menyatakan mana-mana individu tidak dibenarkan mengubah suai kenderaan sama ada motosikal atau kereta termasuk kenderaan komersial melebihi modifikasi yang ditetapkan.
“Penguat kuasa mesti ambil tindakan serta-merta dan beri hukuman paling berat kepada pemilik, termasuk menarik semula lesen perniagaan.
“Jika sudah dapat bukti bahawa pemilik bengkel ubah suai motosikal sehingga tidak diterima oleh JPJ, ia sudah menjadi bukti kukuh untuk mereka diambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengakui kegiatan pengubahsuaian berlebihan itu sukar dikesan penguat kuasa berikutan lokasi premis kebiasaannya adalah di kawasan tersorok.
“Tapi masalahnya mereka (pemilik bengkel) buat (ubah suai) secara senyap-senyap. Jadi di mana kita nak cari lokasi mereka?” soalnya.
Ujar beliau, permintaan yang tinggi untuk mengubah suai dan meningkatkan kelajuan motosikal bagi tujuan lumba haram menyebabkan pemilik bengkel akan terus menjalankan perniagaan meskipun sedar ia menyalahi peraturan jalan raya.
“Kena ingat, tidak ada permintaan maknanya tidak ada penawaran. Sekarang ada permintaan yang tinggi, jadi pemilik bengkel ini tidak akan berhenti.
“Persoalannya, bagaimana kita nak hentikan permintaan itu?
“Ramai kata polis kena buat kerja, tapi ada kalanya kita pun kasihan dengan polis kerana sebenarnya agak sukar untuk mat rempit dimasukkan ke penjara, melainkan mereka menyebabkan kemalangan yang membawa kematian,” jelasnya.
Turut baca
Leave a Reply