Tutup operasi judi bukti undi PAS dapat pahala

Tiada manfaat membiarkan judi berleluasa kerana kegiatan itu bukan sahaja diharamkan agama malah ia merosakkan institusi masyarakat.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, tindakan kerajaan negeri Kedah tidak membenarkan pusat perjudian beroperasi pasti melegakan mereka yang mengundi parti berkenaan.

“Ini juga suatu bukti undi Pas beroleh pahala. Tahniah dan rakyat Kedah saya seru agar sekali lagi menghijaukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti, juga secara total,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri berkata, apabila judi yang menjadi salah satu ‘penyakit kehidupan’ dalam masyarakat dibanteras, banyak individu dan keluarga dapat diselamatkan.

Malah menurut beliau, keberkatan dan rahmat Allah akan dinikmati oleh semua pihak.

“Sudah tentu keputusan tersebut melegakan semua pihak apabila kerajaan Pas-Perikatan Nasional (PN) mengotakan janji mengambil tindakan tersebut bagi mengelak mudarat lebih besar dalam kalangan masyarakat selain mencapai sasaran sifar judi dengan menamatkan sepenuhnya bermula tahun baharu 2023.

“Kekalkan Kerajaan Pas-PN untuk terus memerintah Kedah dalam PRN nanti,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi.

Hafez menambah, Dewan Pemuda Pas Perak turut menyatakan sokongan terhadap ucapan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam sidang DUN Perak pada 22 Disember lalu untuk menghapuskan judi di muka bumi ini.

“Insya-Allah, Perak mesti mengambil langkah yang sama dan segera ke arah sifar judi di negeri ini,” katanya.

Tutup operasi judi bukti undi PAS dapat pahala

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*