“Tunai hanya ada RM6… Ibu sedih terpaksa beri hadiah murah pada cikgu anak sempena ‘Hari Guru’

Seorang wanita meluahkan kesedihannya kerana hanya dapat memberikan hadiah yang murah kepada para guru yang mengajar anak-anaknya di sekolah.

Menurut @eainsyah menerusi sebuah video di aplikasi TikTok, dia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk meneruskan hidup, apatah lagi untuk menunaikan permintaan dua orang anaknya yang ingin membelikan hadiah Hari Guru.

“Rutin seorang ibu yang tidak bekerja dan tiada pendapatan tetap adalah risau duit tidak cukup untuk tanggung keperluan keluarga. Tetapi, apabila ada anak-anak yang cerdik pandai, mereka pasti ingin belikan hadiah sempena Hari Guru.

“Seorang (anak) cakap ada ramai cikgu. Seorang lagi (anak) kata, takut cikgu marah kalau beri satu sahaja (hadiah). Tetapi, tidak ada sesiapa yang tahu, dalam kepada ibu dah mula fikir pasal duit.

“Dalam akaun hanya ada RM20. Tunai pula hanya RM6. Terpaksa minta anak (mengalah) beli hadiah seorang sedikit,” luahnya.

Menurut @einsyah, suaminya hanya mampu membelikan rantai kunci sebagai hadiah Hari Guru.

Namun, dia telah membalut hadiah tersebut supaya nampak lebih cantik.

“Tetapi, untuk ‘mengolah’ hadiah menjadi lebih cantik juga perlukan duit. Berhempas pulas saya fikir macam mana untuk (hias) hadiah tersebut.

“Bila ibu buat kerja rumah, rasa tertekan itu hilang sekejap. Tetapi, kalau bab duit, saya sendiri tidak tahu hendak lari mana,” katanya.

Meninjau ke ruangan komen, @ruzz berkata, dia juga tidak dapat membelikan apa-apa untuk para guru di sekolah anaknya kerana kekangan kewangan.

“Disebabkan itu, saya ‘pontengkan’ anak. Anak tidak perlu pergi sekolah untuk beri hadiah Hari Guru.

“Tidak sampai hati, tetapi lebih baik daripada anak terasa hati bila lihat kawan-kawan mampu beri hadiah mahal,” ulasnya.

Bagaimanapun, seorang guru berkata, pemberian hadiah itu tidak wajib, cukuplah sekadar doa dari anak murid supaya hidupnya lebih berkat.

“Dalam banyak-banyak hadiah yang saya dapat, yang paling buat saya terharu adalah doa dari murid saya.

“Dia (anak murid) bacakan satu-satu doa untuk saya dan saya aminkan semuanya,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*