Video memaparkan senarai tujuh ‘berita baik’ yang ditawarkan oleh kerajaan kepada rakyat menjelang 2023 yang tular di media sosial baru-baru ini adalah palsu.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Video mengandungi infomasi palsu itu bertajuk ‘Tujuh Berita Baik Untuk Rakyat Malaysia 1 Januari 2023’ yang dikongsikan pemilik akaun TikTok dengan nama @saladintivi.
Menurut Fahmi, sejak dimuat naik di laman sosial TikTok, video berdurasi 42 saat itu sudah mendapat lebih 1.8 juta tontonan setakat pukul 7.00 malam tadi.
“Ada video TikTok berita palsu yang disebar sejak 20 jam lalu.
“Malah ada yang muat turun video ini dan menyebarkannya di platform lain seperti WhatsApp.
“Ini antara bahaya sebaran berita palsu,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu, selain membuat laporan kepada TikTok dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan segera.
“Ingat, semak sebelum sebar, tidak pasti jangan kongsi,” katanya.
- Turut baca : Jurulatih tampar pemain remaja perempuan digantung
Leave a Reply