Tuduh sorok beras: PAS Kedah beri amaran ambil tindakan undang-undang

PAS Kedah memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang mendakwa mereka terlibat dalam menyorokkan beras di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya berkata, pihaknya tidak mengambil ringan tuduhan yang mendakwa mereka menjadi dalang utama dalam isu kekurangan bekalan beras seperti yang didedahkan media baru-baru ini.

“PAS Kedah memberikan tempoh 24 jam kepada mana-mana pihak yang memfitnah penglibatan PAS Kedah dalam isu ini.

“Jika mereka tidak meminta maaf serta menarik balik kenyataan fitnah tersebut, maka tunggu tindakan undang-undang yang akan diambil,” ujar Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya dalam satu kenyataan.

Dia turut menegaskan tanggungjawab penguatkuasaan terhadap isu bekalan beras adalah di bawah kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“PAS Kedah tidak pernah terlibat mahupun memberikan sebarang arahan kepada mana-mana pihak untuk melakukan aktiviti ‘hoarding’ sehingga memberikan implikasi terhadap tahap keselamatan makanan negara,” ujarnya.

Ahmad Yahya mengulas dakwaan di media sosial bahawa PAS Kedah bekerjasama dengan ‘kartel’ untuk menyorokkan beras, sekali gus menyebabkan kekurangan makanan ruji berkenaan.

Malah ada yang mendakwa parti Islam itu menerima ‘tajaan’ daripada pekilang padi di negeri ini untuk membiayai aktiviti mereka.

Ini selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan lima kilang beras di Kedah diserbu kerana didakwa terlibat dalam penyelewengan subsidi.

Sanusi sebelum ini menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri atau agensi berkaitannya terlibat dalam isu kekurangan bekalan beras di pasaran.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata PAS Kedah sendiri mendukung prinsip serta kelantangan yang ditunjukkan Muhammad Sanusi dalam memerangi kartel padi dan beras.

“PAS Kedah kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh penglibatan PAS Kedah dalam isu ini.

“Apakah mereka cuba untuk mengalih perhatian kegagalan menteri dalam menangani isu ini?” soalnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*