Gelaran anumerta (posthumous) ‘Tan Sri’ yang dikurniakan kepada bekas menteri besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah pengiktirafan atas perjuangan Allahyarham dan PAS, kata balu Allahyarham, Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Tuan Sabariah – yang menerima gelaran itu daripada Agong bagi pihak suaminya hari semalam – turut menggesa agar legasi Nik Aziz di Kelantan dipertahankan.
“Nasihat saya ‘Ppakat Pertahan’ kerajaan PAS di Kelantan kerana ia adalah legasi Tuan Guru yang mesti dipertahankan dan perjuangan PAS kekal dengan Islam insyaAllah,” katanya.
Dia juga berkata bekas Mursyidul Am PAS itu telah bertungkus lumus memartabatkan Islam dalam kehidupan rakyat dan dalam pentadbiran negara.
Nik Aziz adalah antara beberapa ahli politik yang dianugerahkan gelaran sempena hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Turut dikurniakan gelaran Tan Sri ialah rakan seperjuangan Nik Aziz, veteran DAP Lim Kit Siang.
Sementara itu, anak Nik Aziz, Nik Omar berkata, gelaran anumerta itu adalah satu penghormatan besar buat keluarga.
“Alhamdulillah, walaupun ayahanda tiada bersama, penghargaan itu dirasai bonda.
“Ia juga menunjukkan jasa ayahanda Tok Guru sentiasa dihargai, junjung kasih Tuanku,” katanya seperti dipetik FMT.
Nik Aziz adalah menteri besar Kelantan dari 1990 hingga 2013.
Allahyarham meninggal dunia pada Feb 2015 pada usia 84 tahun.
Leave a Reply