Tragedi tanah runtuh: ‘Saya dengar adik jerit, menangis kesakitan’

PASUKAN penyelamat membawa keluar mayat mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil.

SEORANG mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, Terengganu menceritakan detik-detik cemas sewaktu cuba menyelamatkan adiknya sebelum pengsan di tempat kejadian.

Remaja tersebut, Uzair Azman, 17, berkata, dia terdengar jeritan dan melihat salah seorang adiknya terperangkap di bawah runtuhan sambil menangis kesakitan.

Katanya lagi, abangnya, Abdul Raziq Azman, 18, sempat melarikan diri dari bilik dan berteriak bagi meminta pertolongan.

“Sewaktu kejadian berlaku, saya berada di rumah jiran tetapi tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tanah runtuh diikuti jeritan meminta pertolongan.

“Saya bergegas pulang dan berlari masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan adik-adik saya tetapi malangnya, saya tidak sempat berbuat apa-apa.

“Ketika cuba mengalihkan runtuhan, saya tiba-tiba pengsan dan hanya sedar semula selepas berada di hospital,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Panggong, Ajil pada Sabtu.

Tambahnya, kejadian tanah runtuh itu berlaku sebanyak dua kali berturut-turut sehingga menyebabkan kelibat salah seorang adiknya hilang daripada pandangan.

“Dalam kekecohan itu, saya terdengar jeritan adik-adik. Saya sempat melihat salah seorang daripada mereka sebelum mereka tertimbus sepenuhnya akibat tanah runtuh kedua,” katanya.

Uzair, anak keempat daripada tujuh beradik dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan dibenarkan keluar pada pukul 11 malam Jumaat.

Dia berkata, ibu mereka, Ruziah Fuad, 46, tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, abang sulung mereka, Aminuddin Azman, 25, meluahkan rasa terkejut dan sedih dengan kejadian tersebut, namun reda dengan takdir yang menimpa keluarga mereka.

“Ibu dan adik lelaki saya (Abdul Raziq) sangat trauma dan sedih dengan kejadian ini.

“Tragedi ini benar-benar memberi kesan mendalam kepada ibu kami. Saya hanya mampu berdoa agar mereka kembali kuat,” kata Aminuddin, yang kehilangan ayah mereka, Azman Ab Latif, 50 tahun, akibat strok dan penyakit jantung.

Aminuddin berkata, sejak pemergian ayah mereka, ibu mereka mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dengan mencari rezeki menjual kuih tradisional.

“Rumah yang kami diami itu baru disewa setahun lalu. Sebelum ini, kami menyewa di rumah lain. Saya pula tinggal berasingan di kampung yang sama kerana sudah berkahwin,” tambahnya.

Terdahulu, dilaporkan tiga individu tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit sekitar pukul 4.30 petang, Jumaat.

Uzair ditemui masih hidup di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu pada pukul 5.17 petang.

Jenazah Puteri Sajidah ditemui pada pukul 6.32 petang manakala mayat adiknya, Siti Fatimah ditemui pada pukul 6.59 petang di bawah timbunan runtuhan/

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*