Tragedi Masjid India : Robot swapandu bantu cari mangsa jerlus

Robot swapandu dari China akan menjadi ikhtiar baharu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, kini memasuki hari kelapan.

Sebelum ini, pihak berkuasa terdiri daripada bomba, polis, Jabatan Kerja Raya, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menggunakan kaedah pencarian secara fizikal termasuk selaman namun masih belum menemui wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi itu.

Sumber rapat dengan misi SAR memberitahu FMT robot berkenaan mampu memasuki ruang sempit, serta dilengkapi kamera boleh merakam pelbagai sudut.

“Penggunaan robot ini memang sesuai untuk digunakan di kawasan lubang pembentungan.

Kita harap penggunaan robot ini akan berhasil, katanya yang tidak mahu dinamakan.

Sumber turut memberitahu robot itu akan digunakan dalam operasi 9.30 malam ini, sebaik tiba dari Guangzhou.

Difahamkan, jentera itu dalam perjalanan ke Malaysia ditemani tiga jurutera yang akan mengendalikannya.

Pada 23 Ogos, Vijaya Lakshmi yang berusia 48 tahun hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah ‘jetting’, ‘flushing’, dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa.

Terdahulu, Ketua Pengarah Bomba Nor Hisham Mohammad merumuskan operasi SAR menggunakan kaedah selaman adalah terlalu berisiko.

Menurutnya, selaman oleh dua penyelam skuba 4 pagi tadi tidak berhasil setelah berusaha hampir setengah jam.

Beliau berkata antara faktor risiko dikenal pasti ialah aliran air bawah tanah yang deras, ruang sempit untuk pasukan penyelamat, dan sisa-sisa sampah serta timbunan keras di kawasan carian.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*