Tragedi berdarah! Dua lagi suspek ditahan bantu siasatan kes tetak di Bedong

Tragedi berdarah! Dua lagi suspek ditahan bantu siasatan kes tetak di Bedong.

Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan lima lelaki menyerang dan menetak seorang pekerja cuci kereta hingga maut serta mencederakan rakannya yang merupakan pengawal keselamatan di Bedong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dua lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan di sekitar kawasan Bedong, petang semalam untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, penahanan dua lelaki itu menjadikan keseluruhan yang ditahan berhubung kejadian itu adalah 10 orang.

“Mereka direman empat hari bermula hari ini sehingga 20 Ogos ini. Hasil siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam namun siasatan masih diteruskan,” katanya ketika ditemui pada Program Townhall Discussion Kontinjen Kedah, di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azharuddin berkata, pengawal keselamatan yang cedera akibat ditetak dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan berada dalam keadaan stabil.

Akhbar semalam melaporkan seorang pekerja cuci kereta maut, manakala rakannya yang merupakan pengawal keselamatan cedera parah selepas dipercayai ditetak di kepala dan badan di lokasi berasingan di Bedong, di sini awal pagi kelmarin.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*