Titisan darah bawa kepada penemuan mayat reput

Darah menitis dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di Sri Taman Batu 3½ di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mayat lelaki berusia 47 tahun ditemukan terbaring dan mulai reput di dalam bilik rumah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada laporan adik-beradik mangsa.

“Menurut maklumat, jiran mangsa yang mula-mula terjumpa darah yang menitis dari lantai rumah tersebut lalu memaklumkan kepada kakak dan adik mangsa sebelum laporan polis dibuat.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota tiba di lokasi dan hasil pemeriksaan terdapat bau busuk dari dalam namun rumah tersebut dalam keadaan berkunci,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, susulan daripada itu, sepasukan anggota bomba dipanggil untuk membantu membuka pintu jeriji besi rumah tersebut.

“Sebaik pintu berjaya dibuka, terdapat mayat lelaki tempatan terbaring dan sudah mula mereput di dalam sebuah bilik.

“Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk dibedah siasat,” katanya.

Ramasamy berkata, hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan khianat berhubung kematian lelaki tersebut.

“Kes diklasifikasikan dan disiasat sebagai laporan mati mengejut,” katanya.

Baca juga :

Berang diberi mi segera terlalu sedikit, mangsa banjir tampar ketua kampung

‘Tebuk’ darah daging sendiri, bapa, datuk dan bapa saudara ditahan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*