Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut didakwa guna wang hasil aktiviti haram RM500,000

Adam Radlan Adam Muhammad sebelum ini berdepan lima tuduhan rasuah berkait program Jana Wibawa.

Ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu tuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM500,000.

Adam, yang juga timbalan ketua Bersatu Segambut mohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut kertas pertuduhan, Adam didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000 dari akaun CIMB Bank miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 Dis 2021 hingga 22 Feb 2022 di CIMB Bank Berhad, Cawangan Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Adam didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika didapati bersalah beliau boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 25 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Adam sebelum ini didakwa atas lima tuduhan rasuah berkait program Jana Wibawa bernilai jutaan ringgit.

Adam diwakili Peguam Rajan Navaratnam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Nor Asma Ahmad.

Mahkamah menetapkan 31 Okt ini untuk sebutan semula kes.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*