Tiga tahun tidur atas lantai, dihurung nyamuk – ‘Saya menangis tengok kehidupan mereka’

Tiga tahun mereka tidur atas lantai tanpa menggunakan tilam, tidak pernah merasa ada kipas dan malam dihurung nyamuk.

Begitulah keadaan keluarga Jaison Masigol, 50-an, yang tinggal di pondok buruk bersama isteri dan 10 anak di Kampung Korongkom, Kota Marudu, Sabah.

Simpati dengan kehidupan dilalui keluarga itu, pempengaruh yang juga aktivis masyarakat, Adrian Edy Siaw Chee Hua, 27, membina rumah baharu yang lebih selesa untuk didiami mereka.

Menurutnya, projek yang diberi nama ‘Rumah Kasih Rakyat’ itu menggunakan sepenuhnya duit sumbangan daripada orang ramai.

“Kali pertama pergi (ke rumah Jaison), saya menangis tengok kehidupan mereka. Saya terus minta maaf sebab baru tahu. Itu pun dapat maklumat daripada orang kampung.

“Kemudian pada 10 September lalu, saya dengan bantuan 10 orang terus buat (rumah itu) dan siap selama dua hari. Kos untuk satu rumah termasuk barang adalah RM4,000 membabitkan kayu, plywood, zink, lampu solar dan kipas solar. Rumah ini bersaiz 20×12 kaki (berkeluasan 240 kaki persegi).

“Sepenuhnya gunakan sumbangan orang ramai, sebab itu saya buat papan tanda ‘Daripada Rakyat Untuk Rakyat’ untuk menghargai penyumbang. Bagi saya merekalah hero sebenar dalam misi ini, tanpa mereka semua ini tidak akan berhasil,” katanya kepada Harian Metro.

Tiga tahun tidur atas lantai, dihurung nyamuk - 'Saya menangis tengok kehidupan mereka'
ADRIAN membina rumah baharu untuk Jaison dan keluarganya

Menurutnya, pondok yang didiami Jaison sebelum ini sangat uzur dan anak-beranak itu juga terpaksa menggunakan tandas jiran bagi tujuan mandi serta buang air.

“Pondok mereka sangat uzur, hampir roboh, lantai pun banyak berlubang, zink pun banyak bocor. Setiap kali hujan memang semua kawasan dalam pondok akan kena air. Malah, tempat mereka tidur pun tiada dinding.

“Uncle (pak cik) Jaison yang bekerja sebagai mekanik kereta tidak mempunyai pendapatan menentu. Kalau ada orang minta tolong buat, adalah duit, kalau tiada memang tidak ada sumber pendapatan. Kadang nak makan pun susah, beras 10 kilogram (kg) habis dalam tempoh dua hari saja sebab mereka ramai,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sasaran membina berapa rumah bagi projek ‘Rumah Kasih Rakyat’ itu, sebaliknya bergantung pada keperluan mendesak.

“Setakat ini tiada sasaran nak bina berapa rumah hingga hujung tahun ini, tapi kalau selepas ini ada terjumpa kes yang sangat teruk macam ni, saya dan pasukan akan pertimbangkan.

“Bagaimanapun, kena tengok juga jika keluarga itu ada tapak untuk buat rumah. Sebab keluarga yang baru-baru ini sudah ada tapak di situ,” katanya.

Turut baca :  Kerana tak maklum ketua kampung, pasangan pengantin langkau 2 surau jalani majlis akad nikah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*