Tiga budak ‘diseksa’ enggan makan makanan basi, buat seks oral

KLANG – Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penderaan tiga kanak-kanak yang turut dipaksa membuat seks oral kepada suspek itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, polis menerima laporan berkaitan kes tersebut kira-kira pukul 12.49 pagi semalam.

Katanya, mangsa terdiri dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 hingga 14 tahun telah diselamatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa kerap dipukul dengan menggunakan tangan dan tali pinggang kerana enggan makan makanan yang basi.

“Tindakan tersebut disebabkan kanak-kanak itu tidak mahu membuat kerja rumah,” katanya.

Beliau turut menegaskan mangsa juga dipaksa melakukan seks oral ke atas suspek tersebut.

Jelas Vijaya, kes disiasat dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

“Pihak polis menyeru supaya tiada sebarang spekulasi mengelirukan dibuat mana-mana pihak berhubung kes tersebut,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi tiga minit enam saat daripada sebuah NGO memaklumkan tiga kanak-kanak tersebut mempunyai ibu yang sama namun bapa berlainan.

Kanak-kanak itu kemudiannya ditinggalkan kepada salah seorang bapa daripada mereka susulan ibu mangsa pergi bekerja.

Dakwa NGO itu, terdapat kesan lebam di seluruh badan ketiga-tiga mangsa.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*