Hidup ada peraturan, mahu melawak ada hadnya. Dua minggu lalu, negara dikejutkan dengan penularan sebuah video memaparkan tindakan seorang pelawak wanita yang menanggal tudung dan membuka pakaiannya di hadapan ramai ketika mengadakan persembahan komedi solo di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail Kuala Lumpur.
Dalam video berkenaan, wanita itu, Siti Nuramira Abdullah atau lebih dikenali Amy mengaku berketurunan Melayu, beragama Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran.
Video tersebut kemudian telah mengundang banyak kecaman sehingga mendapat perhatian banyak pihak termasuklah golongan pendakwah, selebriti dan pelawak yang menyifatkan perbuatannya sangat memalukan dan menghina Islam.
Video itu juga turut mendapat perhatian serius Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Sejurus selepas video itu tular Amy dan kekasihnya muncul menerusi siaran langsung dalam YouTube, menjawab pelbagai soalan ramai terutama berkaitan video kontroversi membabitkan dirinya.
Turut baca
- Bayi empat bulan maut dilempar monyet liar
- “Menitis air mata saya dibuatnya…” Tukang rumah solat tengah panas, pasangan non muslim segera belikan kanopi
- {VIDEO} Semalaman tak boleh tidur…” Pasangan suami isteri terkejut pintu hotel ‘diketuk’
Amy yang mendakwa berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu bagaimanapun mengelak daripada menjawab soalan berkaitan tindakan beraninya selain mengakui sangat berbangga menjadi seorang Islam.
Dalam pada itu, Alex juga menyifatkan teman wanitanya sebagai seorang yang berpegang pada ajaran Islam dan mendakwa akan memeluk agama tersebut selain bakal berkahwin tidak lama lagi.
Alex bagaimanapun menghalang Amy daripada menjawab soalan berkaitan video kontroversinya kerana enggan jawapan mereka akan disalah tafsir.
Akibat video kontroversi itu, Amy dan Alex atau nama sebenarnya V. Alexander Navin akhirnya diheret ke mahkamah. Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Bagi pertuduhan Amy, dia didakwa telah mengaku bahawa dia adalah seorang Muslim selain telah menghafal 15 Juzuk al-Quran dan bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.
Perbuatan itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan-alasan agama di antara orang-orang yang menganut agama yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda minimum dua tahun dan tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.
Sementara Alex pula didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagi pengamal undang-undang, Muhammad Amin Abdullah beliau berpendapat bahawa kesalahan yang dilakukan si pelaku adalah serius kerana ia melibatkan kepentingan awam yang mahukan kehidupan yang harmoni di dalam negara yang berbilang bangsa dan agama.
“Peruntukan hukuman penjara sekurang-kurangnya dua tahun dan halangan di bawah Seksyen 298A(2) bagi tertuduh untuk diberikan Bon Berkelakuan baik di bawah Seksyen 173A dan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah menunjukkan bahawa kesalahan ini adalah serius dan tidak boleh dipandang remeh,” katanya.
Sementara bagi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, meskipun terdapat peruntukan hukuman denda, mahkamah tidak terhalang untuk menjatuhkan hukuman pemenjaraan kepada tertuduh.
Ujar beliau, sama ada berat atau tidak hukuman yang akan diberikan bergantung kepada kebijaksanaan mahkamah dalam menilai fakta kes dan latar belakang tertuduh sekiranya didapati bersalah.
Bagi pendapat penulis, apa pun agama yang dianuti sama ada Islam, Hindu, Buddha, atau Kristian, kita tidak berhak menjadikannya sebagai bahan jenaka dan mencetuskan provokasi.
Leave a Reply