Bacaan Qunut Nazilah tidak boleh dibacakan kepada sesama muslim tidak kira apa jua sebabnya hanya kerana pertembungan antara sesama umat Islam.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) memaklumkan, ia apatah lagi sekiranya perselisihan dan pertelingkahan yang biasa terjadi terutamanya dalam lapangan politik dan seumpamanya.
“Oleh itu, tindakan membaca doa Qunut Nazilah ke atas golongan Islam akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrem dan melampau dalam agama,” katanya dalam satu artikel yang diterbitkan menerusi laman web pejabat mufti itu hari ini.
Menurutnya, doa Qunut Nazilah merupakan doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah yang besar.
Katanya, hal ini sepertimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW yang membacakan doa Qunut Nazilah apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat Baginda Ranhum.
Selain itu, Saidina Abu Bakar al-Siddiq juga pernah membaca doa ini ketika memerangi golongan murtad seperti Musailamah al-Kazzab, manakala Saidina Umar al-Khattab juga membaca doa ini apabila memerangi golongan nasrani.
“Para ulama juga menyebutkan beberapa sebab lain dengan yang dibolehkan untuk dibaca doa Qunut Nazilah.
“Berkaitan perkara ini, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa antara sebab dibacakan doa Qunut Nazilah ialah umat ditimpa dengan musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit, serangan serangga dan seumpama,” ujarnya.
Sehubungan itu, Pejabat Mufti WP berkata, daripada nas dan pernyataan ulama di atas, doa Qunut Nazilah ini dibacakan ke atas golongan kafir dan murtad yang diperangi oleh orang Islam serta pada musibah besar yang menimpa mereka.
Selain daripada itu, ia dibaca dalam konteks peperangan jihad yang dituntut dan dibenarkan oleh syarak sepertimana situasi yang dihadapi oleh Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab.
“Tidak terdapat riwayat hadis atau pandangan ulama yang mengharuskan bacaan doa Qunut Nazilah ke atas golongan Islam sendiri.
“Oleh itu, perbuatan membaca doa qunut nazilah ke atas orang Islam, tidak kira ia menjadi musuh atau lawan sesama umat Islam, adalah tidak dibolehkan dalam apa jua keadaan,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply