Tidak bertudung punca wanita maut dipukul polis di Iran

Tidak bertudung punca wanita maut dipukul polis di Iran.  Seorang wanita berusia 22 tahun meninggal dunia di hospital Iran, sehari selepas ditahan pihak polis berhubung kesalahan tidak mematuhi peraturan pemakaian tudung.

The Guardian melaporkan, mangsa dikenali sebagai Mahsa Amini mengunjungi kawasan ibu negara bersama keluarganya dari wilayah selatan di Kurdistan untuk menziarahi saudara mereka.

Tidak semena-mena dia diberkas pihak berkuasa kerana gagal mematuhi peraturan pemakaian bagi golongan wanita.

Ahli keluarga menyedari Mahsa dibawa ke hospital selepas ditangkap dan dipindahkan ke unit rawatan rapi di Hospital Kasra.

Pihak polis pula memberi alasan kononnya mangsa mengalami serangan jantung.

Bagaimanapun, pihak keluarga menolak dakwaan itu kerana mangsa adalah sihat dan tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan.

Mahsa berada dalam keadaan koma selepas tiba di hospital dan doktor memaklumkan otaknya tidak lagi berfungsi.

Gambar wanita itu terbaring di atas katil hospital dalam keadaan koma dengan balutan di sekeliling kepalanya serta alat bantuan pernafasan tersebar dalam media sosial.

Menurut organisasi kebebasan manusia, Hrana, ahli keluarga dimaklumkan mangsa hanya akan dibebaskan selepas mengikuti sesi ‘pendidikan semula’.

Berita itu dilaporkan selepas Presiden Iran, Ebrahim Raisi mengambil tindakan keras terhadap kebebasan wanita serta menggesa undang-undang pemakaian lebih ketat di negara itu.

Semua golongan wanita diarahkan memakai tudung sejak revolusi Islam 1979.

Insiden menggemparkan itu dihujani kritikan daripada selebriti dan ahli politik Iran, selain mencetuskan protes dalam kalangan aktivis.

Seorang bekas ahli Parlimen, Mahmoud Sadeghi turut mempersoalkan punca kematian mangsa.

“Pemimpin tertinggi Iran sebelum ini mengecam polis Amerika Syarikat atas kematian George Floyd, tetapi bagaimana pula layanan polis Iran terhadap Mahsa Amini,” ciapnya dalam Twitter.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri dan pendakwa raya di Tehran melancarkan siasatan berhubung kes tersebut selepas menerima arahan Raisi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*