Tiada pihak pukul suami datang minta maaf, tetap teruskan saman, kata isteri lelaki OKU

Isteri orang kurang upaya (OKU) mental yang tular dipukul di tapak jualan pasar tani di Chukai, Terengganu, berkata tiada seorang pun pihak memukul suaminya tampil memohon maaf.

Faridah Abdul Karim, 44, berkata justeru dia tidak akan menarik balik laporan polis dibuat sebelum ini dan akan meneruskan tindakan saman ke atas semua pelaku, yang didakwa terlibat memukul Ahmad Al Faizan Jusoh, 47.

“Sukar untuk saya maafkan semua pelaku kerana bertindak di luar batas kemanusiaan sedangkan suami saya berkali-kali minta maaf.

“Mereka tahu suami saya OKU kategori mental, namun tetap memukul tanpa belas kasihan dan sehingga kini kami sekeluarga trauma, sukar nak lelapkan mata selepas kejadian,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sebelum ini, dilaporkan seorang OKU mental dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka kira-kira 9.30 pagi Jumaat lalu, selepas motosikalnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan terjatuh dan tumpah.

Mangsa dilaporkan cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu disyaki peniaga serta pembeli di pasar tani itu. Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhamad Wan Ja’afar, dilaporkan berkata lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan setakat ini.

Dalam pada itu, insiden menimpa keluarga OKU terbabit mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Keluarga berkenaan dikunjungi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Megat Zulkarnain Omardin di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Melalui panggilan video yang dibuat bersama Faridah, Zahid menasihatkannya supaya terus tabah dalam berdepan ujian tersebut.

“Saya telah melihat video tular tersebut dan sangat bersimpati dengan apa yang berlaku. Saya harap dia cepat sihat dan apabila keluar (dari hospital) nanti, keluarga terus menjaganya dengan baik terutama ketika situasinya tidak stabil,” katanya dalam panggilan video tersebut.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*