Tiada perlindungan pemberi maklumat terlibat rasuah – PM Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan memberi jaminan perlindungan kepada individu mendakwa menjadi pemberi maklumat tetapi turut terbabit dalam rasuah.

Anwar menegaskan beliau tidak akan berunding dengan mana-mana pemberi maklumat kes rasuah mahu mendapatkan perlindungan, sebaliknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, siasatan itu termasuk membabit kes dakwaan beberapa Adun Sabah membincangkan rasuah melibatkan lesen projek.

“Jangan gunakan jawatan perdana menteri untuk dapatkan perlindungan kepada sesiapa (bagi kes rasuah) kerana saya tidak akan buat begitu…saya tak akan bagi jaminan itu.

Dasar kerajaan Madani jelas iaitu perlindungan hanya diberi kepada mereka yang tidak terbabit langsung dalam kes rasuah.

“Jadi, jika ada maklumat samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah, ia perlu diteliti dan disiasat, bukan terus beri perlindungan kepadanya,” katanya menurut BH selepas sidang media di Kaherah, Mesir.

Mengulas kononnya ada surat rasmi pemberi maklumat meminta perlindungan itu dihantar kepadanya berkait kes Adun berkenaan, Anwar berkata beliau tidak menerimanya kerana masih berada di Mesir.

Jumaat lalu, seorang pegawai kanan SPRM dilaporkan bertemu seorang peguam yang memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat, yang mana kedengaran beberapa orang sedang berbincang mengenai wang.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki yang dipetik berkata peguam itu membayangkan yang anak guamnya sedia memberikan sejumlah bukti, namun mahu SPRM menandatangani persetujuan untuk tidak menyiasatnya.

Namun, pegawai itu tidak setuju kerana ia bukan prosedur undang-undang.

Azam berkata, SPRM tidak boleh memberikan jaminan imuniti bertulis tanpa maklumat terperinci berkaitan perlakuan salah tersebut.

Katanya, saksi digesa membuat aduan rasmi, sekali gus membolehkan mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*