Terperdaya sindiket pemerdagangan manusia: Seminggu minum air tandas, tak makan, ibu tunggal teruk ‘dibantai

Dikurung dalam tandas selama seminggu tanpa makanan, selain ‘dibantai’ teruk pada muka dan kaki antara siksaan yang terpaksa ditempuh seorang ibu tunggal akibat diperdaya sindiket pemerdagangan manusia.

Ibu mangsa yang berusia 56 tahun, dari Kuching berkata, pada 19 Jun lalu, anaknya yang dikenali sebagai Nur ada menghubunginya dan memaklumkan, akan ke Kuala Lumpur untuk berkerja di sebuah kedai makan.

Anak kesembilan daripada 11 beradik itu turut memberitahu, dia bersama seorang lagi temannya akan bekerja di sana dalam tempoh singkat, iaitu tiga bulan sahaja.

Namun, pada Jumaat lalu, Nur yang memiliki seorang anak lelaki berusia empat tahun itu menghubungi ibunya dan memberitahu dia ketika itu berada di Kemboja selain dipaksa bekerja sebagai scammer.

“Anak saya buat panggilan video cakap kena kurung seminggu dalam tandas tanpa makanan dan minuman. Dia tunjuk kaki dan muka bengkak teruk kena pukul.

“Dia nampak sangat lemah. Mengadu kena tidur dalam tandas, tak makan dan hanya minum air paip dalam tandas,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Lebih memilukan hati kata wanita itu, cucunya yang juga anak tunggal Nur, kerap menangis dan memanggil-manggil ibunya (Nur) sebelum tidur.

“Anak lelaki Nur sering menangis, panggil dan tanya di manakah ibunya. Saya tak tahu nak jawab apa. Saya merayu tolong selamatkan anak saya,” luahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim menggesa supaya sesiapa sahaja yang merancang untuk ke Bangkok supaya lebih berwaspada.

“Mana-mana rakyat Malaysia yang nak pergi melancong terutamanya jika diajak oleh kawan-kawan yang lain, supaya berwaspada kerana anda juga boleh jadi mangsa.

“Sindiket kini semakin hari semakin zalim. Teruskan seksaan macam tiada nokhtah kerana mereka selesa dan yakin tak ada tindakan akan dibuat ke atas mereka,” ujarnya.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*