Terpedaya untung ‘tak masuk akal’, kontraktor ‘lesap’ RM416,000

Terpedaya untung ‘tak masuk akal’, kontraktor ‘lesap’ RM416,000.

Seorang kontraktor wanita kerugian RM416,772 dipercayai ditipu sindiket pelaburan tidak wujud melalui Facebook.

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kangar menerima laporan daripada kontraktor berumur 48 tahun itu, semalam.

“Mangsa melihat satu iklan di laman sosial Facebook dan telah menekan satu pautan yang diberikan melalui laman sosial tersebut. Mangsa kemudiannya dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp terdiri daripada ahli sindiket pelaburan tidak wujud.

“Mangsa kemudiannya berinteraksi melalui aplikasi WhatsApp dan telah tertarik dengan pelaburan yang ditawarkan itu. Mangsa ditawarkan satu pelaburan bermodal rendah iaitu sebanyak RM300 dan akan mendapat pulangan sebanyak RM88,000 dalam masa satu hari,” katanya dalam kenyataan.

Yusharifuddin berkata, mangsa telah membuat 80 kali transaksi wang dari tempoh 17 Mei hingga 16 Ogos 2023 melibatkan 32 akaun bank.

Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan daripada pelaburan yang ditawarkan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati orang ramai agar jangan mudah percaya dengan sebarang tawaran pelaburan tanpa membuat semakan dan penelitian. Berhati-hati apabila melihat tawaran pelaburan yang menjamin pulangan tinggi,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*