Gara-gara terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan sebanyak RM2,000 untuk empat hari, seorang wanita nyaris menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dengan dibawa masuk ke Myanmar.
Menceritakan kembali kejadian itu, wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Huda, 41, dari Selangor berkata segalanya bermula pada awal Oktober apabila dihubungi oleh sepasang suami isteri menerusi WhatsApp yang menyatakan mereka memerlukan perkhidmatannya sebagai travel nanny semasa bercuti.
“Mereka mendakwa bekerja sebagai diplomat di sebuah kedutaan asing di Bangkok dan tahu perkhidmatan saya sebagai pengasuh selepas melihat iklan yang saya muat naik menerusi Facebook. Pasangan suami isteri ini kemudian telah membuat panggilan video untuk bertanyakan tentang perkhidmatan itu.
“Mereka menawarkan gaji yang lumayan bagi perkhidmatan selama empat hari dan memaklumkan akan menanggung tiket penerbangan ke Bangkok. Seorang pemandu juga difahamkan akan menunggu saya di lapangan terbang di sana untuk membawa saya bertemu mereka,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di Kuala Lumpur hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim.
Percaya dengan tawaran itu, dia kemudian berlepas ke Bangkok pada 13 Okt lepas dengan tiket yang diberikan dan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, seorang lelaki berpakaian seragam pihak berkuasa di negara itu telah sedia menanti untuk membawanya ke sebuah syarikat pelancongan.
Bagaimanapun, dia mulai curiga apabila tidak diberikan masa untuk menukar wang serta kad sim telefon bimbitnya selain diminta untuk mengikut sahaja arahan lelaki yang bertindak sebagai pemandu itu.
“Malah, ketika dalam perjalanan, berpandukan aplikasi Google Map, saya dapati pemandu itu telah mengubah haluan dengan memandu kenderaan menghala ke Mae Sot, Tak, Thailand, sempadan Myanmar, kira-kira enam jam perjalanan dari Bangkok.
“Sampai di pos kawalan, saya diarahkan untuk menyerahkan pasport untuk dicap, namun saya enggan kerana merasa tertipu dan nekad memaklumkan hal itu kepada anggota polis yang melakukan kawalan di situ,” katanya yang masih gementar apabila teringat perkara itu.
Apabila disoal siasat, pemandu itu menafikan terlibat dalam perkara terbabit dan lelaki itu kemudian dilepaskan tanpa sebarang tindakan manakala dia dibantu dengan diberikan tiket bas untuk kembali ke Bangkok sebelum menaiki kereta api untuk pulang ke Malaysia melalui Padang Besar dan selamat tiba di Kuala Lumpur pada 15 Okt lepas.
Sementara itu, Hishamuddin meminta rakyat di negara ini supaya tidak mudah terpedaya dengan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di negara jiran kerana sindiket pemerdagangan manusia kini semakin licik menggunakan pelbagai helah untuk menjerat mangsa.
Turut baca :
Leave a Reply