Terpedaya keuntungan besar, kerani bank ditipu setengah juta

Terpedaya dengan keuntungan pelaburan sebanyak RM15,000 dijanjikan sindiket scammer yang menyamar sebagai pegawai perunding pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), seorang kerani bank mengalami kerugian mencecah RM585,400.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa seorang wanita berusia 52 tahun sanggup menggunakan wang simpanan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta menggadaikan barang kemasnya.

Katanya, kejadian berlaku selepas mangsa dihubungi sindiket berkenaan melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Oktober lalu yang menawarkan pulangan keuntungan bernilai RM15,467 dalam tempoh tiga hingga enam jam dengan modal serendah RM300.

“Kerani bank itu kemudian bersetuju membuat transaksi RM300 ke dalam satu akaun milik seorang lelaki.

“Mangsa yang menyangka telah memulakan pelaburan di bawah MIDA kemudian melakukan 64 transaksi pemindahan wang ke dalam 31 pemilik akaun berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM585,400,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Jamil, tindakan itu dilakukan tanpa pengetahuan suami serta anaknya dan mangsa hanya menyedari ditipu pada 27 Oktober lalu apabila dihubungi sebuah syarikat telekomunikasi.

“Syarikat itu meminta bayaran pendahuluan telefon bimbit berjumlah RM10,000 bagi tujuan pelaburan berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada Selasa lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*