Terlibat seludup PATI, 2 pegawai imigresen ditahan

Cubaan membawa masuk dua wanita Indonesia secara haram melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 9 September lalu akhirnya membongkar penglibatan dua pegawai imigresen yang bersubahat dengan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi kira-kira pukul 7 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen (JIM) Putrajaya hasil maklumat perisikan dan maklumat awam.

Menurut beliau, dalam operasi berkenaan, seramai lima individu berusia 31 hingga 49 tahun berjaya ditahan terdiri daripada dua wanita Indonesia yang baru saja tiba dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen.

“Turut ditahan adalah dua orang pegawai imigresen yang bersubahat dengan sindiket dan ejen yang menguruskan kemasukan PATI tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, ejen berkenaan akan mengatur kemasukan PATI disenarai hitam di atas kesalahan lampau dengan kerjasama pegawai imigresen yang bersubahat di kaunter ketibaan untuk menurunkan cap masuk.

“Mereka juga diupah antara RM1,000 hinga RM2,000 bagi setiap PATI yang kemudiannya akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi yang ditujui untuk tujuan bekerja secara tidak sah.

“Kemasukan PATI itu juga tidak akan direkodkan di dalam sistem imigresen oleh pegawai tersebut,” jelas beliau.

Beliau berkata, kesemua PATI tersebut ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat di bawah akta sama.

“Seorang ejen dan dua pegawai imigresen yang terlibat pula ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut manakala dua orang pegawai imigresen itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan,” tegas beliau.

Terlibat seludup PATI, 2 pegawai imigresen ditahan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*