Terima rasuah lepas lori kargo, 4 pegawai Kastam didakwa

Empat Pembantu Penguasa Jabatan Kastam didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM39,750.

Rahi Shamudin Ishak, 51, Mat Hafizan Abdullah, 42, Ahmad Shahremy Ahmad Damanhuri, 40, dan Mohd Sufian Hashim, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Anita Harun.

Rahi didakwa atas 42 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM400 sehingga RM2,000 antara 1 Dis 2017 dan 4 April 2023, manakala Mat Hafizan berdepan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM300 antara 3 Julai 2020 dan 3 Jun 2021.

Shahremy pula didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,000 pada 4 Mei 2018, manakala Sufian didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM850 dan RM400 masing-masing dilakukan pada 30 Jun 2018 dan 24 April 2023.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Taman Sri Serdang dan Bandar Baru Salak Tinggi.

Mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada pemilik syarikat Kalos Enterprise, melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu, yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala Rahi, Mat Hafizan dan Sufian diwakili Mohd Hezri Shaharil, sementara hahremy pula diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan kepada Rahi sebanyak RM30,000, Mat Hafizan (RM10,000) dan Shahremy serta Sufian masing-masing sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Semua tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya setiap awal bulan dan tidak dibenarkan berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen pada 11 Julai depan.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga 6 Jun depan selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi yang bermula pada 11 hingga 25 Mac itu, menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*