Terima rasuah lebih RM20,000, penjawat awam dicekup SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 sepanjang dua tahun lepas.

Menurut sumber, wanita yang bekerja sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan itu, ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru, kira-kira 5.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, wanita berusia 40 tahun itu meminta dan menerima wang rasuah tersebut dari 2021 hingga 2022, daripada dua individu berlainan sebagai balasan mendapatkan tanah lot bukan bumiputera bagi sebuah projek perumahan di negeri ini.

“Wanita berkenaan yang juga ejen hartanah sambilan, telah meyakinkan kedua-dua individu terbabit bahawa dirinya boleh mendapatkan lot tersebut dengan menggunakan jawatannya sebagai pegawai penguat kuasa sebuah jabatan,” kata sumber itu, menurut laporan Bernama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Dalam kes berasingan pula, seorang pembantu tadbir kewangan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah ditahan bagi membantu siasatan menggunakan kedudukan dan jawatannya untuk memasukkan tunggakan gaji dan elaun ke akaun gajinya sendiri, tahun lepas.

Menurut sumber, wanita yang berusia 32 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Segamat kira-kira 2 petang selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, wanita berkenaan yang sepatutnya tidak layak menerima tunggakan gaji dan elaun tersebut, telah memasukkan lebih RM1,000 ke akaun gajinya untuk dua bulan iaitu pada Februari dan April.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan kedua-dua wanita berkenaan dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*