Seorang bekas penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen atas sembilan pertuduhan menerima rasuah dan membuat tuntutan palsu bernilai lebih RM7 juta bagi pembekalan kepada Istana Negara antara 2022 hingga 2024.
Ibrahim Ishak, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Bagi enam pertuduhan, bekas ketua seksyen pentadbiran dan teknologi maklumat Istana Negara itu didakwa menggunakan dua nota penerimaan bekalan/perkhidmatan bagi dua syarikat daripada sistem ePerolehan Istana Negara dan empat invois dua syarikat, yang mana dokumen terbabit mengandungi butiran palsu.
Nilai tuntutan RM7.68 juta tertera itu lebih tinggi RM1.65 juta berbanding pembekalan sebenar iaitu RM6.03 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Seksyen Kewangan Dan Belanjawan Istana Negara antara 13 Apr 2022 hingga 2 Jan 2024 dengan pendakwan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara mengikut Seksyen 24 (2) akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Mengikut pertuduhan ketujuh, Ibrahim juga didakwa memperoleh suapan RM72,000 daripada seorang individu sebagai upah meluluskan permohonan pesanan sampul ampun kurnia pada 29 Mac 2023.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Dia juga didakwa atas cubaan memperoleh suapan RM210,000 dan SGD8,800 daripada seorang lelaki bagi meluluskan pembekalan cenderahati jam tangan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong berlangsung pada 5 Ogos 2024.
Pendakwaan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh oleh peguam Aiman Abdul Rahman.
Rosli menetapkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan 4 Mac depan untuk sebutan semula.
Baca juga :
Sindiket tawaran pinjaman: Ziana Zain kunci mulut bakal disiasat SPRM
Leave a Reply