Seorang lelaki mendapat penghargaan dan pujian penduduk apabila secara sukarela membantu mengawal lalu lintas di simpang empat Bandar Seri Putra, Bangi ekoran masalah lampu isyarat yang tidak berfungsi.
Difahamkan, simpang empat tersebut menjadi laluan utama penduduk antaranya Bangi Lama, Bandar Seri Putra, Bandar Bukit Mahkota, Bandar Puteri Bangi dan Bangi Avenue untuk ke Tol Putra Mahkota, Lebuh Raya Utara-Selatan.
Bagaimanapun, kerosakan lampu isyarat di situ pada pagi tadi menyebabkan kesesakan teruk.
Berikutan itu, seorang penunggang motosikal dipercayai penduduk di sekitar situ bertindak mengawal lalu lintas sekali gus memudahkan orang ramai yang mahu melaksanakan urusan pagi termasuk ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah.
“Hero BSP (Bandar Seri Putra). Warga BSP dan sekitarnya merakamkan ribuan terima kasih kepada brother ni kerana tampil membantu menjaga trafik ketika lampu isyarat tidak berfungsi pagi tadi. Andalah wira yang tidak didendang.
“Banyak mesej terima kasih telah dikongsi warga maya kerana brother ni berselipar je membantu menyuraikan trafik di simpang empat tersebut. Semoga usaha brother ni diberi balasan yang baik oleh-Nya. Thank you bro,” menurut hantaran Facebook Info Penduduk Bandar Seri Putra.
Dalam pada itu, pengguna media sosial turut berterima kasih kepada lelaki tersebut yang memudahkan urusan penduduk sekitar Bangi.
“Tak ada brother ni tadi, ramai orang lambat masuk pejabat. Terima kasih banyak-banyak,” komen Radin Fakhrurrazi.
“Nampak dia pagi tadi. Terima kasih banyak-banyak,” Anas Haqimi.
“Terima kasih bang kerana memudahkan urusan trafik tadi. Saya sempat turunkan tingkap ucapkan terima kasih banyak-banyak,” kata Ibu Ibrahim Ats-tsalist.
“Terima kasih banyak-banyak atas bantuan encik pagi tadi,” komen Linda Malik.
Baca juga :
Leave a Reply