Terdapat pihak yang iri hati dengan kejayaan misi luar negara yang dipamerkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menarik pelaburan ke Malaysia.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, pihak terbabit mendakwa kononnya lawatan yang disertai Anwar tidak membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara.
Tegasnya, pelbagai pencapaian penting telah diperoleh Anwar termasuk memacu ekonomi negara, memperkukuh hubungan antarabangsa dan meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat global.
“Lawatan ini menunjukkan impak nyata, termasuk pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, pengukuhan perdagangan, dan pengiktirafan global terhadap Malaysia.
“Ia juga petunjuk jelas Perdana Menteri bukan sekadar figura simbolik, sebaliknya pemimpin yang memacu negara menuju kemajuan di bawah agenda Madani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Farhan berkata, lawatan Anwar ke Mesir pada 9 November lalu telah menyaksikan perdagangan dua hala meningkat 21.4 peratus atau RM3 bilion.
“Pelancaran kilang pemasangan Proton di Giza dijangka menjana pendapatan RM570 juta dalam tiga tahun, di samping tambahan pendapatan RM20juta melalui jualan alat ganti bagi menyokong perkhidmatan.
“Kerjasama pendidikan berjaya dibina antara Universiti Al-Azhar, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Ahmad Farhan menambah, Anwar kemudiannya mengadakan lawatan ke Peru dan berjaya meneroka ekosistem halal di Amerika Latin melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakkan Eksport dan Pelancongan Peru (Promperu).
“Kolaborasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Inovasi Pertanian Negara Peru memperkukuh sektor pertanian, dengan perdagangan meningkat 49.1 peratus (RM1.58 bilion).
“Lawatan ke Brazil membantu pelaburan luar pesisir Petronas bernilai AS$6 bilion serta projek kemudahan penyimpanan dan pemindahan pengeluaran terapung (FPSO) oleh Yinson Holding bernilai AS$5 bilion serta eksplorasi tenaga solar oleh Tenaga Nasional Berhad,” jelasnya.
Katanya, semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru dengan syarikat gergasi Microsoft dan Google, mereka telah mengiktiraf dasar kecerdasan buatan (AI) Malaysia sebagai komprehensif, dengan pelaburan pusat data bernilai AS$2 bilion.
Menurut Ahmad Farhan, Anwar antara pemimpin yang tegas mempertahankan hak Palestin di Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh serta menyeru sekatan senjata terhadap Israel dilakukan segera.
“Anwar turut menuntut reformasi peranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seharusnya bersifat lebih inklusif buat negara anggota lain serta menyingkirkan rejim zionis Israel daripada PBB,” ujarnya.
Semalam, Anwar selamat tiba di Seoul, bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan sehingga 26 November.
Terbaharu, dalam pertemuan Anwar bersama Presiden Yongsan, Yoon Suk Yeol hari ini, tiga memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia – Korea berjaya dimeterai.
Baca juga :
Leave a Reply