Seorang penumpang wanita mendakwa dicabul oleh pemandu kedua bas ekspres sewaktu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kuala Terengganu malam tadi.
Perbuatan amang seksual fizikal tersebut didakwa berlaku sewaktu bas ekspres berkenaan tiba di Plaza Tol Chukai di sini pada pukul 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, mangsa berusia 23 tahun telah menaiki bas ekspres tersebut dari Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada pukul 10.15 malam.
Beliau berkata, wanita itu mendakwa duduk di tempat duduk tingkat dua bas ekspres tersebut dan sewaktu kejadian cuma ada tiga penumpang di bahagian atas.
“Sewaktu sedang tidur, mangsa mendakwa dia terasa lengan kiri tiba-tiba ditarik seorang lelaki yang kemudiannya dikenalpasti sebagai pemandu kedua bas ekspres berkenaan.
“Wanita tersebut mendakwa kemudiannya leher dan anggota sulitnya disentuh suspek menyebabkan dia terjaga daripada tidur sebelum menepis tangan suspek dan menjerit ketakutan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Hanyan berkata, jeritannya menyebabkan suspek menghentikan perbuatannya sebelum meninggalkan mangsa di tempat duduknya sewaktu bas ekspres tersebut tiba di Hentian Chenor, Pahang.
Beliau berkata, mangsa kemudianya membuat laporan polis sebaik tiba Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada pukul 4 pagi tadi.
“Laporan polis dibuat di Balai Polis Salak Selatan Baru, Kuala Lumpur. Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa saling mengenali kerana dia sering menaiki bas ekspres berkenaan.
“Suspek sedang giat dikesan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply