Kelmarin tular temu bual di antara Datuk Hattan bersama penyampai berita saluran Astro Awani menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen. Ramai warga maya menganggap penyanyi legenda berkenaan sedikit keterlaluan dan tidak beradab.
la susulan pihak Astro Awani membuat panggilan telefon kepada Hattan bagi mengulas pemergian vokalis kumpulan XPDC iaitu Mael atau Syed Ismail Syed Ibrahim yang meninggal dunia pada malam Khamis lalu.
Menerusi temu bual secara langsung Buletin Awani pada pagi Jumaat, Hattan tiba-tiba ‘naik angin’ apabila penyampai berita, Nur Syazwani Saiful Sham bertanyakan soalan mengenai penulisan lagu dan lirik kumpulan XPDC yang cukup mendalam dan meninggalkan kesan kepada hati pendengar.
Hattan kemudiannya bertanya secara sinis sama ada Syazwani membuat ‘research’ sebelum menghubungi dan bertanyakan soalan.
Susulan dari penularan video tersebut, peguam Nor Zabetha turut meninggalkan maklum balas tentang isu tersebut dan beranggapan ia sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi. Menerusi penulisannya di Facebooknya, Nor Zabetha turut menyelar secara berhemah tindakan penyanyi legenda berkenaan.
Semalam saya terlihat sedutan laporan berita antara penyampai berita dan Dato Hattan.
Dato Hattan berulang kali bertanya siapa penulis lirik lagu XPDC. Bagus pembaca berita mengendalikan situasi. Dia cuba juga menjawab dan dia cuba ketawa kecil sedikit.
Sudah diberikan jawapan masih lagi, Dato Hattan menyampaikan rasa tidak puas hatinya. “Adoi”.
Bila saya baca komen, rata-rata tidak setuju dan marah. Cara pengendalian yang tidak betul.
Pembaca berita atau penyampai berita bukanlah wartawan yang menyingkap atau mengupas setiap satu berita atau segmen yang bakal dia hasilkan. Nama pun penyampai.
Sebab itu, ayatnya “Boleh Dato ceritakan.” Kita dengar dari yang lebih berpengetahuan. Sebab itu dalam segmen berita jika ada sesi atau slot, perlu tanya pakar ekonomi, pakar psikologi, doktor, peguam, pakar politik. Ikut kepakaran masing-masing. Biar pakar yang menjelaskan. Orang yang ditemubual bual itu, tidak boleh tanya sambil merendah-rendahkan.
Saya tahu ada yang membezakan wartawan dengan penyampai, sebab wanita itu hanya penyampai dan bukan wartawan. Kalau wartawan sekalipun, dia bertanya kepada yang lebih tahu atau yang pakar dalam bidangnya. Adakah wajar kita merendah-rendahkan dia?
Contoh minta pandangan peguam untuk jelaskan tentang undang-undang. Tiba-tiba peguam tanya “Ha! Pengubahan wang haram apa seksyennya? Apa elemennya? Takkan tak buat homework sebelum interview saya”.
Banyak wartawan yang saya jumpa. Ya, Allah segala hal mereka perlu selidik dan teliti. Contoh dalam satu liputan keganasan rumahtangga untuk satu slot siaran. Hendak temubual pakar psikologi, hendak temubual peguam, hendak temubual PDRM, hendak temubual mangsa.
Jadi mereka mengharapkan pendapat pakar dalam bidang psikologi. Pendapat peguam dalam bidang guaman. Pendapat polis berkaitan dengan jenayah yang dilaporkan.
Tanya pada yang pakar. Itu lebih baik. Dunia penyampaian berita dan siaran berbentuk liputan atau dokumentari ini perlu dilakukan dengan baik. Sebab itu, mereka menemualbual orang yang selayaknya untuk memberi pandangan.
Kalau tidak, tidak perlu temubual. Mereka ‘study’ sendiri dan terus siarkan. Kadang-kadang perkongsian dari yang lebih tahu dan yang lebih pakar itu berbeza.
Saya banyak kali bekerjasama dengan wartawan dan mereka memang sangat profesional. Sangat peramah dan belum pernah sepanjang pengalaman saya ada pengalaman yang tidak senang.
Itulah, melihat situasi ini. Kadang-kadang kita selalu mempersoalkan kenapalah kehidupan kita ini ada saja halnya. Orang tidak suka. Orang tidak faham. Pada saya cara pengendalian.
Kita bayangkan pula kalau temubual semalam Dato Hattan jawab dengan cara lain pula. “Lirik yang ditulis sangat mendalam kerana…”. Sambil menjelaskan, memberikan penghargaan kepada karya dan menjelaskan karya begini barangkali tidak lagi bakal dihasilkan.
Sambil memberi pesanan pada kita untuk menghargai karya seni dan penghormatan terakhir kepada arwah.
Barangkali klip video itu tidak viral dan barangkali Dato Hattan juga tidak dikritik. Barangkali Dato Hattan, lebih dihormati.
Tapi itulah, cara kita mengendalikan sesuatu hal sangat memberikan kesan pada sesuatu hal.
Semuanya berbalik kepada cara pengendalian. Jangan cari masalah kalau tak mahu masalah.
Jadi setiap kali, kita berurusan dengan orang, pikir cara bagaimana yang memudahkan urusan kita dan orang sana. Kita tidak pening kepala, dia pun mudah. Orang sekeliling pun tidak menghukum.
Apa pula pandangan anda tentang isu ini?
Leave a Reply