“Telah berlaku lebih 20 tahun lalu…” Isu jemaah terkandas cermin MOTAC lemah

Kejadian 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin bukti penguatkuasaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam isu penipuan tawaran pakej menunaikan ibadah itu masih lemah.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, MOTAC seolah-olah tidak belajar daripada kelemahan tersebut sehingga penipuan sama terus berlaku lebih 20 tahun.

“MOTAC sepatutnya ambil tindakan segera masalah sperti ini. Tiap-tiap tahun berlaku, jadi kena gunakan undang-undang berkaitan penipuan.

“Jabatan berkaitan hal ehwal agama Islam juga perlu adakan satu peraturan bagaimana orang yang memperdayakan orang lain dalam enakmen agama boleh dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Turut baca

Media sebelum ini melaporkan, bakal jemaah haji yang terkandas itu dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh meneusi Tabung Haji.

Bagaimanapun, Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, kedutaan itu tiada kaitan dengan masalah 380 bakal jemaah haji terkandas.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, bakal jemaah haji tidak terus teruja menerima sesuatu tawaran pakej haji walaupun mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran.

“Kita kena pastikan, bukan asal janji dapat pergi. Sudah banyak kali orang-orang kita terperangkap dengan isu-isu begini, jadi umat Islam di Malaysia harus lebih berhati-hati,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*