“Tekad perangi rasuah…” Kalau nak jatuhkan saya kerana lawan rasuah, silakan, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dalam usaha membersihkan Malaysia dan menyelamatkan bangsa daripada tindakan individu merompak kekayaan negara.

Anwar berkata, beliau mengarahkan kerajaan supaya menyelamatkan negara daripada pemimpin yang mengayakan diri dengan merompak harta kekayaan negeri.

“Itu tekad saya, senang susah saya hadapi. Kalau nak jatuhkan kerana saya lawan rasuah, silakan, tetapi saya tidak akan bertolak ansur daripada bersihkan negara ini dan selamatkan bangsa kita dan negara kita daripada tindakan orang yang merompak kekayaan negara.

“Bukan sedikit, dan ini termasuk pimpinan yang ada dalam kerajaan, baik menteri, dalam kalangan kerajaan negeri (exco). Kena ingat, saya arah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), ambil tindakan kepada siapa sahaja melakukan rasuah, terutama setelah kita bagi amaran, dia buat juga lagi,” katanya ketika berucap melancarkan program “Semarak Tambun Cinta Al-Quran” dan menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Ittihadiah.

Anwar berkata, beliau tidak terlibat dalam kes mahkamah melibatkan bekas menteri besar Azlan Man.

“Apabila kita ambil tindakan (melawan rasuah), kita zalim. Bukan saya ambil tindakan saudara, ini paling akhir mantan menteri besar Perlis, saya bukan siasat, bukan saya buat laporan ke SPRM atau polis,” katanya.

Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kangar, Perlis terhadap lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.

Sementara itu, Anwar memberi contoh bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga perlu mengutip cukai termasuk daripada individu yang kaya dalam usaha menyelamatkan negara daripada kehilangan hasil.

“LHDN kutip cukai daripada semua, ini kalau dia tu orang kaya berbilion-bilion (harta), dia tak bayar cukai, (kalau bayar) dia bayar sikit, orang biasa kena bayar cukai (seperti biasa mengikut ketetapan), inilah yang kita harus betulkan.

“Jadi saya sebut perkara ini kerana apa kaitan dengan Ramadan? Ramadan ini disiplin diri, soal nilai, soal akhlak yang saya ungkapkan sebagai Madani,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*