TERDAPAT cakap-cakap yang di Turkiye, ada sebuah tasik yang boleh membuatkan rambut menjadi perang. Betul ke?
Jawapannya adalah benar. Di Turkiye, sebuah tasik bernama Tasik Van terletak dekat Wilayah Anatolia Timur boleh membuatkan rambut seseorang itu menjadi perang apabila dicelupkan ke dalamnya.
Tapi bagaimana ia boleh membuat rambut seseorang itu menjadi perang secara semula jadi?
Tasik Van merupakan tasik saline-soda yang terbesar di Turkiye. Apabila seseorang berenang di tasik tersebut, mereka akan mengalami kejadian rambut bertukar menjadi perang secara semula jadi untuk sementara.
Bukan saja rambut, tetapi bulu kening juga akan bertukar menjadi kuning.
Menurut Profesor Hatice Uce Ozkol dari Jabatan Dermatologi di Universiti Yuzuncu Yil (UYY), fenomena itu berlaku akibat tahap kemasinan tinggi tasik tersebut dicampur dengan sinaran matahari yang memancar sewaktu musim panas.
Kata Ozkol lagi, mereka yang mempunyai kulit berminyak lebih berpotensi untuk mengalami kejadian tersebut berbanding mereka berkulit kering.
“Mereka yang mempunyai kulit berminyak dan mandi di tasik tersebut mempunyai peluang lebih tinggi untuk mengalaminya. Kemasinan air tasik itu menghapuskan lapisan kulit mati.
“Ia turut mempunyai kesan berdasarkan pencahayaan yang berpunca dari matahari serta altitud di sini adalah tinggi,” ujarnya.
Lazimnya, kanak-kanak dari Kampung Yayliyaka di daerah Van sering menghabiskan masa mandi di tasik tersebut. Oleh itu, mereka lebih kerap menerima kesan hasil mandi di Tasik Van.
Ozkol menambah, kesan sementara yang dialami mereka itu hanya bertahan ketika musim panas dan ia kembali normal semasa musim sejuk.
“Mereka yang mempunyai rambut berwarna merah akan turut menjadi lebih merah. Apabila kesannya mula berkurangan pada musim sejuk, rambut akan kembali menjadi seperti biasa,” ujarnya.
Turut baca :
Leave a Reply