Tanda tanya kereta dalam sungai terjawab

Tanda tanya kereta dalam sungai terjawab.

Sebuah kereta yang ditemukan dalam sungai di Batu 13, Jalan Pahang, mengundang tanda tanya apabila tiada seorang mangsa dijumpai termasuk pemandu kenderaan.

Malah usaha pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah yang melakukan pencarian di dalam air dan sekitar kawasan kejadian turut menemui jalan buntu.

ANGGOTA bomba cuba mengesan mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam kereta jenis Perodua Axia yang dijumpai dalam sungai di Batu 13, Jalan Pahang, Tapah.

Bagaimanapun, teka-teki itu terjawab apabila pasukan penyelamat berjaya menghubungi keluarga mangsa melalui pencarian nombor pendaftaran kenderaan.

Turut baca

Ketua BBP Tapah, Nadzri Che Nordin berkata, sepasukan 11 anggota dan seorang penyelia pasukan digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 pagi semalam.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Perodua Axia berada di dalam sungai dipercayai terbabas sebelum terjatuh pada ketinggian dua meter.

“Operasi mencari mangsa dijalankan segera bagi mengesan sekiranya ada mangsa yang terperangkap. Mangsa bagaimanapun gagal ditemui walaupun pencarian turut dilakukan di kawasan sekitar dibimbangi dihanyutkan arus.

“Pada masa sama, kita juga cuba mengesan pemilik kenderaan menerusi nombor pendaftaran kenderaan dan berjaya menghubungi keluarga yang memaklumkan kedua-dua mangsa selamat,” katanya.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar pukul 11.40 malam dan kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Tapah.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*