Tanah runtuh | “Tolong cari anak saya…” Suara mangsa minta tolong masih ‘terngiang’

“Suara mangsa meminta tolong mencari anak dan saudara yang masih tertimbus dalam runtuhan tanah masih terngiang-ngiang di telinga.”

Demikian kata Ketua Zon 6 Hulu Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmadi Muhamad Hasan, 42, biarpun misi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, di sini, sudah ditamatkan.

Menurutnya, dia yang tiba di lokasi kejadian pada jam 4.05 pagi, 16 Disember itu hanya mampu berusaha sebaik mungkin bersama anggota lain.

“Dalam pergerakan saya terus memberikan arahan kepada pasukan. JBPM yang pertama sampai ialah dari Kuala Kubu Bharu. Difahamkan sudah ada lebih 30 mangsa terselamat. Jadi, tugasan pertama adalah saya mendapatkan maklumat sebanyak mungkin daripada mangsa itu.

“Ketika itu, mereka minta saya bantu mencari anak dan saudara yang masih belum dapat keluar. Apa saya boleh jawab adalah kita sedang berusaha, dan akan cuba sedaya upaya untuk mencari dan membantu.

“Saya juga ada membawa mangsa untuk buat petunjuk di lokasi yang berkaitan. Dengan adanya maklumat itu kita sudah boleh melakukan beberapa plot di sektor A, B, dan C bagi memudahkan pencarian. Sebab dari awal maklumat itu pun kita jangkakan ini bukan kes yang mudah untuk diselesaikan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, terdapat juga mangsa yang terselamat mengalami kecederaan akibat terkena runtuhan tanah.

“Keadaan mangsa kalau nak diikutkan, saya pun jatuh air mata juga tetapi kita sebagai penyelamat tidak boleh nak tunjukkan kelemahan.

“Bagaimanapun, kita kena dapatkan mangsa-mangsa yang boleh berkomunikasi dan yang lain itu memang dalam keadaan lemah dan trauma.

“Kalau nak ikutkan ada empat atau lima orang yang tercedera, patah kaki, tangan dan ada juga yang berlaku kecederaan pada anggota badan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang misi SAR dijalankan, pihaknya menemukan pelbagai barangan peribadi mangsa termasuk wang tunai mencecah RM5,000.

“Untuk hari pertama lagi yang saya lihat mangsa sudah tak fikir mengenai barangan mereka. Jadi kita memang buat pencarian itu dan selain daripada mangsa yang kita temukan, peralatan mereka pun kita bawa dan serahkan kepada pihak polis.

“Mangsa yang meninggal pun apa yang ada pada badan mereka, kita buat serahan kepada waris.

“Untuk hari pertama itu saya ingat lebih kurang wang tunai RM5,000 yang ditemui dan diserahkan kepada pihak polis, di samping barang-barang peribadi seperti telefon dan lain-lain,” katanya.

Turut baca :

Tanah runtuh | "Tolong cari anak saya..." Suara mangsa minta tolong masih 'terngiang'

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*