Taktik tarik keahlian sertai NGO untuk nikmati keistimewaan terbongkar

Taktik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menjanjikan layanan istimewa termasuk tidak ditahan ketika sekatan polis untuk memujuk orang ramai menyertai pertubuhan itu terbongkar selepas lima individu ditahan.

Kesemua mereka yang berusia 32 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang pada 22 hingga 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, penahanan itu dilakukan selepas seorang individu membuat laporan polis pada 20 Oktober lalu berkaitan tawaran mendapat keistimewaan ditawarkan NGO berkenaan.

Taktik tarik keahlian sertai NGO untuk nikmati keistimewaan terbongkar
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai

Menurut beliau, siasatan kemudian mendapati NGO tersebut turut menggunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di kad keahlian, emblem kenderaan, pelekat kenderaan dan baju pertubuhan terbabit.

“Polis menerima laporan daripada individu terbabit yang mendakwa telah kerugian RM17,000 kerana ditawarkan untuk menjual meja sempena majlis makan malam yang akan dianjurkan.

“Mangsa mendakwa jika ingin menjadi ahli pertubuhan terbabit, bayaran RM2,200 sebagai yuran dikenakan dan selepas itu mereka akan mendapat pelbagai layanan istimewa termasuk tidak akan ditahan ketika sekatan jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, susulan penahanan itu, polis merampas 19 baju-T, 15 topi, 143 pelekat kenderaan, 20 emblem kenderaan, lapan kad pelbagai jenis dan acuan cetakan.

“Semakan rekod mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan menyamar penjawat awam,” jelasnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*